Jam 6.30 petang. Mak berdiri
di depan pintu. Wajah Mak kelihatan resah. Mak tunggu adik bungsu balik dari
sekolah agama. Ayah baru balik dari sawah. Ayah tanya Mak, “Along mana?’ Mak
jawab, “Ada di dapur tolong siapkan makan.” Ayah tanya Mak lagi,” Angah mana?”
Mak jawab, “Angah mandi, baru balik main bola.” Ayah tanya Mak, “Ateh mana?”
Mak jawab, “Ateh, Kak Cik tengok tv dengan Alang di dalam?” Ayah tanya lagi,
“Adik dah balik?” Mak jawab, “Belum. Patutnya dah balik. Basikal adik rosak
kot. Kejap lagi kalau tak balik juga jom kita pergi cari Adik.” Mak jawab
soalan ayah penuh yakin. Tiap-tiap hari ayah tanya soalan yang sama. Mak jawab
penuh perhatian. Mak ambil berat di mana anak-anak Mak dan bagaimana keadaan
anak-anak Mak setiap masa dan setiap ketika.
Dua puluh tahun kemudian Jam
6.30 petang Ayah balik ke rumah. Baju ayah basah. Hujan turun sejak tengahari.
Ayah tanya Along, “Mana Mak?” Along sedang membelek-belek baju barunya. Along
jawab, “Tak tahu.” Ayah tanya Angah, “Mana Mak?” Angah menonton tv. Angah
jawab, “Mana Angah tahu.” Ayah tanya Ateh, “Mana Mak?” Ayah menunggu lama
jawapan dari Ateh yang asyik membaca majalah. Ayah tanya Ateh lagi, "Mana
Mak?" Ateh menjawab, “Entah.” Ateh terus membaca majalah tanpa menoleh
kepada Ayah. Ayah tanya Alang, “Mana Mak?” Alang tidak jawab. Alang hanya
mengoncang bahu tanda tidak tahu. Ayah tidak mahu tanya Kak Cik dan Adik yang
sedang melayan facebook. Ayah tahu yang Ayah tidak akan dapat jawapan yang ayah
mahu. Tidak ada siapa tahu di mana Mak. Tidak ada siapa merasa ingin tahu di
mana Mak. Mata dan hati anak-anak Mak tidak pada Mak. Hanya mata dan hati Ayah
yang mencari-cari di mana Mak. Tidak ada anak-anak Mak yang tahu setiap kali
ayah bertanya, "Mana Mak?" Tiba-tiba adik bungsu bersuara, “Mak ni
dah senja-senja pun merayap lagi. Tak reti nak balik!!” Tersentap hati Ayah
mendengar kata-kata Adik. Dulu anak-anak Mak akan berlari mendakap Mak apabila
balik dari sekolah. Mereka akan tanya "Mana Mak?" apabila Mak tidak
menunggu mereka di depan pintu. Mereka akan tanya, "Mana Mak."
Apabila dapat nombor 1 atau kaki melecet main bola di padang sekolah. Mak resah
apabila anak-anak Mak lambat balik. Mak mahu tahu di mana semua anak-anaknya
berada setiap waktu dan setiap ketika. Sekarang anak-anak sudah besar. Sudah
lama anak-anak Mak tidak bertanya 'Mana Mak?" Semakin anak-anak Mak besar,
soalan "Mana Mak?" semakin hilang dari bibir anak-anak Mak . Ayah
berdiri di depan pintu menunggu Mak. Ayah resah menunggu Mak kerana sudah senja
sebegini Mak masih belum balik. Ayah risau kerana sejak akhir-akhir ini Mak
selalu mengadu sakit lutut. Dari jauh kelihatan sosok Mak berjalan memakai
payung yang sudah uzur. Besi-besi payung tercacak keluar dari kainnya. Hujan
masih belum berhenti. Mak menjinjit dua bungkusan plastik. Sudah kebiasaan bagi
Mak, Mak akan bawa sesuatu untuk anak-anak Mak apabila pulang dari berjalan.
Sampai di halaman rumah Mak berhenti di depan deretan kereta anak-anak Mak. Mak
buangkan daun-daun yang mengotori kereta anak-anak Mak. Mak usap bahagian depan
kereta Ateh perlahan-lahan. Mak rasakan seperti mengusap kepala Ateh waktu Ateh
kecil. Mak senyum. Kedua bibir Mak diketap repat. Senyum tertahan, hanya Ayah
yang faham. Sekarang Mak tidak dapat lagi merasa mengusap kepala anak-anak
seperti masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka sudah besar. Mak takut anak Mak
akan menepis tangan Mak kalau Mak lakukannya. Lima buah kereta milik anak-anak
Mak berdiri megah. Kereta Ateh paling gah. Mak tidak tahu pun apa kehebatan
kereta Ateh itu. Mak cuma suka warnanya. Kereta warna merah bata, warna
kesukaan Mak. Mak belum merasa naik kereta anak Mak yang ini. Baju mak basah
kena hujan. Ayah tutupkan payung mak. Mak bagi salam. Salam Mak tidak berjawab.
Terketar-ketar lutut Mak melangkah anak tangga. Ayah pimpin Mak masuk ke rumah.
Lutut Mak sakit lagi. Mak letakkan bungkusan di atas meja. Sebungkus rebung dan
sebungkus kueh koci pemberian Mak Uda untuk anak-anak Mak. Mak Uda tahu
anak-anak Mak suka makan kueh koci dan Mak malu untuk meminta untuk bawa balik.
Namun raut wajah Mak sudah cukup membuat Mak Uda faham. Semasa menerima
bungkusan kueh koci dari Mak Uda tadi, Mak sempat berkata kepada Mak Uda,
"Wah berebutlah budak-budak tu nanti nampak kueh koci kamu ni."
Sekurang-kurangnya itulah bayangan Mak. Mak bayangkan anak-anak Mak sedang
gembira menikmati kueh koci sebagimana masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka
berebut dan Mak jadi hakim pembuat keputusan muktamat. Sering kali Mak akan beri
bahagian Mak supaya anak-anak Mak puas makan. Bayangan itu sering singgah di
kepala Mak. Ayah suruh Mak tukar baju yang basah itu. Mak akur. Selepas Mak
tukar baju, Ayah iring Mak ke dapur. Mak ajak anak-anak Mak makan kueh koci.
Tidak seorang pun yang menoleh kepada Mak. Mata dan hati anak-anak Mak sudah
bukan pada Mak lagi. Mak hanya tunduk, akur dengan keadaan. Ayah tahu Mak sudah
tidak boleh mengharapkan anak-anak melompat-lompat gembira dan berlari
mendakapnya seperti dulu. Ayah temankan Mak makan. Mak menyuap nasi
perlahan-lahan, masih mengharapkan anak-anak Mak akan makan bersama. Setiap
hari Mak berharap begitu. Hanya Ayah yang duduk bersama Mak di meja makan
setiap malam. Ayah tahu Mak penat sebab berjalan jauh. Siang tadi Mak pergi ke
rumah Mak Uda di kampung seberang untuk mencari rebung. Mak hendak masak rebung
masak lemak cili api dengan ikan masin kesukaan anak-anak Mak. Ayah tanya Mak
kenapa Mak tidak telepon suruh anak-anak jemput. Mak jawab, "Saya dah
suruh Uda telepon budak-budak ni tadi. Tapi Uda kata semua tak berangkat."
Mak minta Mak Uda telepon anak-anak yang Mak tidak boleh berjalan balik sebab
hujan. Lutut Mak akan sakit kalau sejuk. Ada sedikit harapan di hati Mak agar
salah seorang anak Mak akan menjemput Mak dengan kereta. Mak teringin kalau
Ateh yang datang menjemput Mak dengan kereta barunya. Tidak ada siapa yang
datang jemput Mak. Mak tahu anak-anak mak tidak sedar telepon berbunyi. Mak
ingat kata-kata ayah, “Kita tak usah susahkan anak-anak. Selagi kita mampu kita
buat saja sendiri apa-apa pun. Mereka ada kehidupan masing-masing. Tak payah
sedih-sedih. Maafkan sajalah anak-anak kita. Tak apalah kalau tak merasa
menaiki kereta mereka sekarang. Nanti kalau kita mati kita masih ada peluang
merasa anak-anak mengangkat kita kat bahu mereka.” Mak faham buah hati Mak
semua sudah besar. Along dan Angah sudah beristeri. Ateh, Alang, Kak Cik dan
Adik masing-masing sudah punya buah hati sendiri yang sudah mengambil tempat
Mak di hati anak-anak Mak. Pada suapan terakhir, setitik air mata Mak jatuh ke
pinggan. Kueh koci masih belum diusik oleh anak-anak Mak. Beberapa tahun
kemudian Mak Uda tanya Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik, “Mana
mak?”. Hanya Adik yang jawab, “Mak dah tak ada.” Along, Angah, Ateh, Alang, Kak
Cik dan Adik tidak sempat melihat Mak waktu Mak sakit. Kini Mak sudah berada di
sisi Tuhannya bukan di sisi anak-anak Mak lagi. Dalam isakan tangis, Along,
Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik menerpa kubur Mak. Hanya batu nisan yang
berdiri terpacak. Batu nisan Mak tidak boleh bersuara. Batu nisan tidak ada
tangan macam tangan Mak yang selalu memeluk erat anak-anaknya apabila anak-anak
datang menerpa Mak semasa anak-anak Mak kecil dulu. Mak pergi semasa Along,
Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik berada jauh di bandar. Kata Along, Angah,
Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik mereka tidak dengar handphone berbunyi semasa
ayah telepon untuk beritahu mak sakit tenat. Mak faham, mata dan telinga
anak-anak Mak adalah untuk orang lain bukan untuk Mak. Hati anak-anak Mak bukan
milik Mak lagi. Hanya hati Mak yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa,
hanya untuk anak-anak Mak.. Mak tidak sempat merasa diangkat di atas bahu
anak-anak Mak. Hanya bahu ayah yang sempat mengangkat jenazah Mak dalam hujan
renyai. Ayah sedih sebab tiada lagi suara Mak yang akan menjawab soalan Ayah,
"Mana Along?" , "Mana Angah?", "Mana Ateh?",
"Mana Alang?", "Mana Kak Cik?" atau "Mana Adik?".
Hanya Mak saja yang rajin menjawab soalan ayah itu dan jawapan Mak memang tidak
pernah silap. Mak sentiasa yakin dengan jawapannya sebab mak ambil tahu di mana
anak-anaknya berada pada setiap waktu dan setiap ketika. Anak-anak Mak sentiasa
di hati Mak tetapi hati anak-anak Mak ada orang lain yang mengisinya. Ayah
sedih. Di tepi kubur Mak, Ayah bermonolog sendiri, "Mulai hari ini tidak
perlu bertanya lagi kepada Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik ,
"Mana mak?" " Kereta merah Ateh bergerak perlahan membawa Ayah
pulang. Along, Angah, Alang dan Adik mengikut dari belakang. Hati ayah hancur
teringat hajat Mak untuk naik kereta merah Ateh tidak kesampaian. Ayah
terbayang kata-kata Mak malam itu, "Cantiknya kereta Ateh, kan Bang?
Besok-besok Ateh bawalah kita jalan-jalan kat Kuala Lumpur tu. Saya akan buat
kueh koci buat bekal." "Ayah, ayah....bangun." Suara Ateh
memanggil ayah. Ayah pengsan sewaktu turun dari kereta Ateh.. Terketar-ketar
ayah bersuara, "Mana Mak?" Ayah tidak mampu berhenti menanya soalan
itu. Sudah 10 tahun Mak pergi namun soalan "Mana Mak?" masih sering
keluar dari mulut Ayah sehingga ke akhir usia. Sebuah cerita pendek buat
tatapan rakan2. Kata orang hidup seorang ibu waktu muda dilambung resah,
apabila tua dilambung rasa. Kata Rasulullah saw. ibu 3 kali lebih utama dari
ayah. Bayangkanlah berapa kali ibu lebih utama dari isteri, pekerjaan dan
anak-anak sebenarnya. Solat sunat pun Allah suruh berhenti apabila ibu
memanggil. Berapa kerapkah kita membiarkan deringan telepon panggilan dari ibu
tanpa berjawab?